Saturday 30 October 2010

BERSYUKUR DAN BERSABAR


Firman Allah SWT di dalam sebuah Hadis Qudsi yang menyebut mengenai sifat syukur, iaitu terjemahannya;

“Kalau Aku uji kamu dengan kesusahan, kamu tidak mahu bersabar, dan kalau Aku uji kamu dengan nikmat, kamu tidak mahu bersyukur, maka nyahlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan pergilah cari Tuhan yang lain.”

Kebiasaan jika ada yang minta khidmat nasihat atau pandangan dari saya, akhir sekali yang akan keluar ialah perkataan sabar.
Eh! Senang lah ustaz cakap, saya yang alami masalah cuba ustaz berada di tempat saya. Apa yang akan ustaz rasa.....  Kalau kita perhatikan hidup manusia ini dengan teliti, kita akan dapati bahawa manusia ini sedetik pun tidak terlepas dari diuji. Manusia diuji dengan ujian kesusahan ataupun ujian nikmat yang silih berganti datangnya. Kemudian manusia dituntut supaya bersabar dalam menerima kesusahan serta bersyukur dalam menerima nikmat. Jadi, pada hakikatnya, apa sahaja pergolakan dan perubahan yang berlaku dalam hidup manusia ini, ia hanya mempunyai dua sifat atau dua bentuk. Sama ada ia ujian kesusahan atau ujian nikmat. Atas kedua-dua bentuk ujian ini, hati kita perlu menerimanya dengan betul, iaitu bersabar apabila menerima kesusahan dan bersyukur apabila dikurniakan nikmat. Memang susah tapi Insyaallah boleh dilaksanakan......

Sekali imbas kita lihat, bersabar itu lebih susah dan lebih berat untuk dipraktikkan.Ini kerana dalam bersabar, hati manusia perlu melalui kesusahan, keresahan, tekanan dan penderitaan. Emosi, fikiran dan ketenangan jiwa terganggu. Kebahagiaan hilang. Bersyukur pula, pada sekali imbas, nampak lebih senang dan mudah kerana hati manusia berada dalam keadaan tenang dan gembira; tidak ada tekanan atau penderitaan.

Apakah ini benar? Adakah bersyukur itu lebih mudah dari bersabar? Kalau benar kenapa tidak ramai orang yang mampu bersyukur? Kenapakah orang-orang yang benar-benar bersyukur itu sedikit sekali bilangannya. Kenapakah Allah ada berfirman di dalam Al Quran:

Maksudnya:

“Sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah As-Saba’: 13)


Bersyukur itu sebenarnya berperingkat-peringkat. Ramai orang, apabila mendapat nikmat, lantas mereka memuji Allah. Mereka ucapkan ‘Alhamdulillah’. Ini bersyukur cara biasa. Ramai yang boleh bersyukur dengan cara ini. Akan tetapi, kalau setakat ucapan sahaja, ia belum lagi dikira bersyukur yang sebenarnya. Kalau setakat ucapan sahaja, tetapi tuntutan tuntutan lain dalam bersyukur itu tidak dilaksanakan, maka ditakuti ucapan ‘Alhamdulillah’ itu hanyalah untuk mempermain- mainkan atau mempersendakan Allah sahaja.

Ramai juga orang, apabila menerima nikmat atau diselamatkan dari bala bencana, lantas mereka memuji Allah dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’. Di samping itu hati mereka benar-benar merasakan Allahlah yang telah memberi mereka nikmat itu, atau Allahlah yang telah menjauhkan mereka dari bala bencana tersebut. Mereka diberi pahala kerana merasakan syukur itu di dalam hati mereka. Ini bersyukur peringkat kedua.

Adapun syukur yang sebenar itu ialah syukur yang diucapkan oleh lidah, yang dirasakan atau ditasdikkah di dalam hati, dan yang dilaksanakan dalam perbuatan. Di samping mengucapkan ‘Alhamdulillah’ dan di samping merasakan di hati bahawa Allahlah yang mengurniakan nikmat tersebut, nikmat itu mesti digunakan atau dikorbankan ke jalan Allah. Inilah hakikat kesyukuran yang sebenarnya. Bekorban masa, tenaga dan mungkin juga duit bagi guru adalah pekara biasa tapi niat jangan lari selain ibadah kepada Allah kalau lari sia-sia semuanya. Allah akan menghisab setiap apa yang kita lakukan walau sebesar zarah sekali pun.

Kalau kita kaya contohnya, kekayaan itu perlu digunakan ke jalan Allah untuk membantu fakir miskin, untuk jihad fisabilillah dan untuk kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. Begitulah juga dengan segala bentuk nikmat Allah yang lain. Semuanya perlu dimanfaatkan ke jalan Allah untuk mendapat keredhaan-Nya.

Firman Allah :

Maksudnya: “Kalau kamu bersyukur atas nikmat-nikmat-Ku, Aku akan tambah lagi nikmat-nikmat-Ku. Tetapi kalau kamu kufur nikmat, ingatlah sesungguhnya siksa-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim: 7)

Syukur seperti inilah yang Allah suka dan yang Allah mahu. Dia akan tambah lagi nikmat-Nya, untuk ‘cover’ balik apa yang dikorbankan ke jalan Allah itu.

Justeru itu, kita dapati dalam bersyukur itu ada tugas, ada kerja dan ada tanggungjawabnya iaitu kita terpaksa mengguna dan mengorbankan segala nikmat yang Allah kurniakan itu ke jalan Allah. Nikmat Allah itu perlu ditadbir, diurus dan digunakan pada jalan yang betul. Amat mudah bagi manusia lupa diri dan menggunakan nikmat Allah itu kepada jalan yang sia-sia atau lebih berat lagi kepada jalan maksiat. Kalau ini berlaku maka nikmat itu akan bertukar menjadi bala dan mendapat laknat daripada Allah.

Bila sebut tentang sabar pula saya anggap apa yang dicatat ini sebenarnya untuk diri saya sendiri sebab bukan mudah nak sabar. Walaupun dalam bersabar, kita tidak ada kerja atau tanggungjawab tambahan selain dari menahan perasaan. Apa yang perlu hanyalah menjaga dan mendidik hati supaya dapat menerima ketentuan Allah itu dan berbaik sangka dengan-Nya.

Marilah kita berfikir tentang bersyukur dan bersabar semoga Allah sentiasa memberi hidayah dan petunjuk kepada kita semua.

Friday 29 October 2010

Matan Arbain Imam Nawawi

Hadith Keenam
Dari Abu Abdullah An-Nu'man bin Basyir r.a. katanya : saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : ' Sesungguhnya yang halal itu terang ( jelas ) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat pekara-pekara yang syubahat ( tidak terang halal atau haramnya ) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari pekara-pekara yang syubahat itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam pekara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam pekara haram. Laksana seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja sebuah tempat larangan, dan tempat larangan Allah itu adalah pekara-pekara yang diharamkanNya. dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati.

Thursday 28 October 2010

Bersara

Hari ini mesyuarat bagi majlis persaraan Tn. Hj Mohd Yasak B. Roslan telah diadakan di bilik PPSMI/ Mesyuarat SKBT. Diharap apa yang dibincangkan dapat dijalankan dengan jayanya. Maklum saja pesaraan adalah merupakan satu pengalaman yang dinanti-nantikan, bukan bermakna persaraan ini adalah noktah akhir untuk bekerja tetapi ianya merupakan satu perubahan rutin yang akan dilalui bagi setiap insan yang bergelar guru. Mari kita imbas saat bersama Tn. Hj Mohd Yasak B. Roslan mudah-mudahan jadi motivasi kepada kita semua.
   
Harum semerbak si bunga melur,
Jadi hiasan taman larangan,
Sejambak pantun mesra dihulur,
Setulus ingatan mengimbau kenangan.

Alangkah dinginnya menjelang senja,
Mentari terbenam diufuk barat,
Doaku ikhlas untukmu sahaja,
Bahagia di dunia hingga akhirat.

Monday 25 October 2010

LDP Akhir





Latihan Dalam Perkhidmatan (Sabtu) 23/10/2010 berlangsung dengan jayanya. LDP kali ini telah disampaikan oleh Cik Noraida Abdullah dan Pn. Norhaida Rashid serta  ceramah permakanan sihat dari penceramah jemputan.

Didik Hibur

Cik Noraida telah mendedahkan dengan pelbagai elemen didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa antara lain termasuklah santai, kelakar dan lucu, seronok dan gembira, berani mencuba, tidak takutkan guru dan kurang stress. Didik hibur dalam kelas bukannya suatu perkara baharu malah pendekatan ini telah lama digunakan oleh guru sejak dahulu. Namun dalam perkembangan dunia pendidikan kini, pendekataan tersebut dijenamakan semula dalam sukatan pelajaran yang baharu kerana pendekatan seperti itu sudah semakin dilupakan selain dapat memberikan impak yang lebih baik terhadap pembelajaran bahasa. Tambahan pula dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, penggunaan elemen didik hibur dalam kelas akan menjadikan pelajar lebih ceria, seronok, gembira dan jika dirancang dan dilaksanakan dengan baik akan menjadikan pembelajaran bahasa lebih berkesan. Peserta didedahkan dengan penggunaan teknik nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi. Peserta juga berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti becerita berpandukan gambar yang ditayangkan. Keseluruhan peserta sangat gembira menghadiri kursus ini dan mengakui bahawa keyakinan dan semangat untuk menggunakan elemen didik hibur dalam pengajaran dan pebelajaran bahasa semakin meningkat.

Tulisan Mekanis

Peserta juga didedahkan dengan tulisan mekanis yang perlu diajar dengan kaedah yang betul kepada kanak-kanak. Biasanya setelah kanak-kanak melalui proses pra tulisan, sepatutnya mereka telah faham dan boleh memegang pensel serta cara duduk yang betul dan selesa. Tulisan mekanis merupakan peringkat kedua yang patut didedahkan kepada murid- murid. Sebagai permulaan untuk memberi kemahiran dalam penulisan mekanis peserta  diminta membentuk huruf-huruf pada kertas yang diberikan. Seronok juga aktiviti ini, dapat juga mengajar anak di rumah dengan kaedah penulisan yang betul.

Bahasa Inggeris Prasekolah

Mengajar Komponen Bahasa khususnya Bahasa Inggeris amat mencabar bagi guru prasekolah. Maklumlah bukan semua boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Terutamanya saya tapi apa-apa pun sebagai seorang guru, cabaran sebegini perlu disahut dengan fikiran yang positif. Ternyata penyampaian Pn Norhaida dalam pembentangan hasil dari kursus bahasa inggeris prasekolah yang dihadiri amat baik dan mampu memberikan sesuatu ilmu dalam kaedah pengajaran bahasa inggeris prasekolah. Peserta memberikan kerjasama yang baik dalam setiap aktiviti yang dijalankan. (This is a small ball ) dan aktiviti membaling pundi kacang akan menjadi kenangan kepada peserta.

Pemakanan Sihat

Ceramah yang telah disampaikan mampu memberikan kesedaran kepada peserta bahawa kebanyakkan penyakit itu berpunca daripada pemakanan.
Jika dahulu penyakit jantung, diabetes dan darah tinggi dikaitkan sebagai penyakit orang kaya kerana kemampuan mereka untuk bermewah dengan makanan tetapi hari ini anggapan itu tidak boleh dipakai sepenuhnya. Pemakanan yang berlebihan daripada keperluan dan pengambilan makanan suplemen yang tidak betul juga antara penyumbang kepada penyakit-penyakit tersebut. Semua lapisan masyarakat, tidak mengenal usia, bangsa, kaya atau miskin turut menghidap penyakit-penyakit kronik itu hari ini.
Sementara itu jumlah penghidapnya kian meningkat terutama penyakit jantung koronari yang menjadi punca kematian nombor satu di Malaysia. Corak pemakanan yang tidak seimbang, pekerjaan tanpa banyak pergerakan dan faktor keturunan turut menjadi penyumbang kepada penyakit-penyakit kronik yang boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dan dikawal.

Wednesday 20 October 2010

Calon Pengawas 2011



20/10/2010 (Rabu)
Pihak sekolah telah menjalankan sesi temuduga untuk memilih pengawas sekolah. Pemilihan ini berdasarkan minat, pencapaian akademik dan sahsiah seseorang murid untuk menjadi pengawas sekolah. Tanggungjawab sebagai pengawas agak besar dan hanya murid-murid yang layak sahaja akan dipilih.

Selain itu, pemilihan murid-murid juga mesti disokong oleh guru kelas. Jika guru kelas mendapati murid-murid tersebut tidak menyiapkan kerja sekolah atau selalu melanggar disiplin sekolah, mereka tidak akan dipilih sebagai pengawas. Ada beberapa orang murid yang telah dilantik sebagai pengawas pada tahun ini tidak dilantik lagi pada tahun hadapan kerana tidak menunjukkan kelakuan yang baik sebagai pengawas.
Pada hari ini satu temuduga dan ujian bakat telah diadakan bagi mengenal pasti murid-murid yang akan dilantik sebagai pengawas sekolah dan pengawas pusat sumber bagi tahun 2011. Ujian ini amat penting disebabkan kemerosotan disiplin dan kurangnya penyertaan murid-murid dalam aktiviti yang dianjurkan oleh panitia-panitia mata pelajaran di sekolah. Hasil yang didapati biasanya tidak berkualiti, namun terpaksa diberi hadiah disebabkan bilangan penyertaan yang terlalu sedikit.
Apa yang diharapkan dengan adanya perkembangan bakat seperti ini mampu menimbulkan semangat ingin bersaing di kalangan murid. Seterusnya menjadikan badan pengawas SKBT sebagai jentera pengerak disiplin dan kemajuan sekolah.
Sepanjang dua minggu ini, pengawas-pengawas percubaan akan melaksanakan tugas mereka. Jika mereka gagal melaksanakan tugas dengan baik, mereka tidak akan dilantik sebagai pengawas.

Tuesday 19 October 2010

Tomyam



MASAKAN
Program Memasak Murid Tahun 6
Aktiviti memasak ini adalah merupakan salah satu program yang dirancang selepas UPSR . Tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada murid-murid tentang kemahiran memasak yang akan dipelajari di sekolah menengah dalam mata pelajaran kemahiran hidup bersepadu. Murid-murid telah dibahagikan kepada 8 kumpulan dan dibimbing oleh beberapa orang guru. Setiap murid telah diberi tugasan awal seperti perancangan menu, bahan-bahan dan alatan yang perlu dibawa.
  1. Perancangan Menu
    1. Maksud
      • satu senarai bahan lengkap untuk memasak tomyam 
    2. Tujuan merancang menu
                                                        i.            Menyediakan bahan dan alatan yang diperlukan
                                                      ii.            Menjimatkan masa, tenaga dan bahan
                                                    iii.            Menyediakan sajian yang enak, menarik dan berkhasiat
                                                     iv.            Menyediakan sajian yang menepati anggaran belanjawan
    1. Faktor penentu Menu
                                                         .            Tujuan sajian – untuk majlis jamuan
                                                        i.            Kegemaran - tentukan jenis menu yang digemari atau yang dipesan. Kenal pasti pelanggan
                                                      ii.            Kepelbagaian - hidangan mengandungi variasi dari segi kaedah memasak, bahan yang digunakan ,menarik dan rasa yang enak.
                                                    iii.            Kemudahan fizikal - bergantung kepada peralatan dan kemudahan yang ada.
                                                     iv.            Keperluan - bergantung kepada keperluan , keadaan fizikal dan kesihatan murid.
                                                       v.            Sumber tenaga dan masa - makanan dapat disiapkan dengan sempurna seperti yang dirancang dalam masa yang singkat
                                                     vi.            Bilangan peserta – lima orang dalam setiap kumpulan harus diketahui lebih awal mengelakkan makanan yang tidak mencukupi atau mengelakkan pembaziran
                                                   vii.            Perbelanjaan - menu yang dipilih adalah berdasarkan bahan yang murah dan menjimatkan.
                                                 viii.            Sumber makanan - boleh didapati dengan mudah , segar dan berkualiti


Cara memasak dan menyediakan makanan
Guru setiap kumpulan telah dilantik sebagai pembimbing dan murid dikehendaki mengikut setiap arahan guru semasa aktiviti memasak.

  1. Menyedia dan Penyajian Hidangan

    1. Hidangan lengkap
                                                         .            Maksudnya ialah hidangan yang telah siap untuk dimakan oleh setiap orang di dalam kumpulan. Hidangan tersebut mestilah seimbang yang mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh
                                                        i.            Ciri-ciri hidangan sepinggan lengkap
        1. Mudah
        2. Ringkas
        3. Berkhasiat
        4. Cepat disediakan
Semoga aktiviti memasak ini dapat memberi manafaat dan pengalaman kepada murid-murid tahun 6. Ada juga dikalangan murid yang terpaksa hidup berdikari selama ini kerana ibunya sakit, mungkin aktiviti ini besar maknanya kepada mereka tanpa kita sedari.
Bercerita tentang memasak adalah merupakan satu hal yang saya minati, bermula dari tingkatan 1 lagi saya telah memasak dan menguruskan diri sendiri tanpa bantuan dari keluarga. Pengalaman ini bermula semasa saya belajar di sebuah Sekolah Arab di Kedah di mana setiap pelajar memasak makanan sendiri. Walaupun masakan tidak seenak mana, tapi cukuplah untuk alas perut bagi seorang pelajar.
Rasulullah SAW bersabda, orang yang paling disukai Allah di antara kamu adalah orang yang paling sedikit makannya dan paling ringan badannya” (Riwayat Ad-Dailami melalui Ibnu Abbas r.a.)

"Apabila seseorang sedikit makan, maka perutnya dipenuhi cahaya.(Riwayat Ad-Dailami melalui Abu Hurairah r.a.). Dalam satu hadith disebut “Apa yang saya lebih bimbang terhadap umat saya, ialah besar perut, banyak tidur, malas, dan kelemahan keyakinan”. Besar perut, bermaksud, banyak makan, kemewahan. Mereka yang banyak makan, akan membesarkan perut, ia akan mewarisi kelembapan, kurang cergas.

1. Jangan makan atau minum terlalu panas.

2. Dinginkanlah makanan kamu (sebelum dimakan), nescaya makanan itu diberkati (Riwayat Ibnu Addi).

3. Nabi SAW melarang memakan makanan yang masih panas kecuali panasnya telah reda (Riwayat Thabrani)

4. Nabi SAW melarang meniup-niup makanan dan minuman (Riwayat Ibnu Abbas)
Guru Besar telah menyampaikan kepada semua murid semasa perhimpunan tentang waktu makan, sebaik-baiknya jangan lewat hingga melepasi waktu maghrib (6.30 -7.00) dan banyak minum air masak. Ingat lagi tak.........  

Monday 18 October 2010

Rakyat didahulukan


Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan di Melaka Maju 2010

Pada 20.10.2010 pada jam 20.10 malam, negeri Melaka akan diisytihar sebagai negeri maju berdasarkan kriteria yang diberi oleh Organisation for Economic Co-operation and Development  atau lebih kerap dipanggil sebagai OECD.
Melaka telah melepasi indikator-indikator minimum yang diperlukan untuk diperakui sebagai sebuah negeri yang maju.
Untuk pengetahuan umum, proses menjadikan Melaka sebagai negeri maju sudah dimulakan lebih kurang sedekad yang lalu. Kita sewajarnya bersyukur kerana hidup di bumi bertuah ini. Harapan kita semoga kemajuan yang kita kecapi ini seiring dengan ketaatan kita terhadap pencipta alam ini, di mana setiap hari semoga ada peningkatan keimanan, ketakwaan serta ibadah kita terhadap Allah.
Visi Melaka Maju 2010 telah dilancarkan pada tahun 2001. Sebuah blue print telah disedia dan dibentangkan oleh UPEN. Pada tahun 2002, 23 indikator telah diperkenalkan untuk mengukur kemajuan Melaka.
Justeru, kita sebagai rakyat Negeri Melaka berbangga bahawa negeri yang menjadi tempat tinggal kita sudah diperakui statusnya sebagai negeri maju berlandaskan piawaian antarabangsa.
Majlis pengisytiharan ini akan berlangsung di Stadium Hang Jebat pada hari Rabu, 20 Oktober 2010 pada pukul 8.10 malam.
 Mungkin hari khamis kita cuti tapi tunggulah pengumuman dulu.

Apa Kata Peguam


BH 5 Mac 08

Peguam Syarie Menulis:
Wanita wajib taat suami selagi tak langgar syarak
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


KISAH segelintir wanita sudah berkahwin yang sanggup diusung lelaki lain untuk berhibur hingga ke bilik tidur yang didedahkan akhbar begitu mengejutkan.
Malah, mereka sanggup bertukar pasangan antara satu sama lain, sentiasa terbuka menerima kenalan baru untuk dijadikan pasangan. Ini perkara serius yang tidak wajar dipandang ringan walaupun ia dikatakan sebagai kes terpencil. Walau apa alasan mereka seperti tidak puas atau tidak menerima nafkah batin daripada suami, perlakuan sedemikian bukan jalan singkat yang perlu diambil bagi menyelesaikan masalah. Menurut tokoh agama, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, tempat seorang isteri adalah di sisi suami dan isteri yang menjalin hubungan bersama lelaki lain tidak sepatutnya berlaku. Beliau berkata, perbuatan itu bukan saja tidak bermoral, malah lebih teruk daripada nusyuz iaitu tidak menghormati atau ingkar kepada suami. Seorang isteri sewajarnya tidak memandang lelaki lain selain suaminya.

Seorang isteri perlu taat kepada suami kerana wujudnya ikatan pernikahan, walau bagaimanapun tanggungjawab itu bukanlah mutlak tanpa batas sempadan. Antara syarat yang mewajibkan isteri mentaati suami ialah suami juga perlu menjalankan sepenuhnya tanggungjawabnya terhadap isteri. Segala hak dan tanggungjawab saling bertimbal balik. Hak isteri adalah tanggungjawab suami. Sementara hak suami pula adalah tanggungjawab isteri.

Antara lain yang mewajibkan isteri mentaati suami adalah arahan yang diberi suami tidak bertentangan dengan Islam. Jika arahan suami bertentangan dengan ajaran Islam, arahan itu bukan saja tidak wajib dipatuhi, malahan suami patut diperbetulkan dengan cara bijaksana.
Mengenai tanggungjawab isteri mentaati suami boleh difahami daripada sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Oleh itu, dapat dilihat di sini pentingnya isteri mentaati suami selagi ketaatan itu tidak terkeluar daripada landasan syarak. Nusyuz daripada sudut hukum syarak bermaksud derhaka iaitu bermaksud isteri yang menderhakai dan tidak mentaati suami seperti diwajibkan Allah. Firman Allah bermaksud: "Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz). Hukum nusyuz bagi seorang isteri adalah haram. Ia adalah satu dosa besar bagi seorang isteri yang nusyuz terhadap suaminya." (Surah an-nisa', ayat 33)

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Jika seseorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, isterinya tidak datang dan suaminya tidur dalam keadaan marah, malaikat akan melaknat isteri berkenaan sehingga subuh."

Tidak ada peruntukan khusus dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam atau pun Akta Undang-undang Keluarga Islam terhadap dakwaan nusyuz. Cuma dinyatakan mengenai aspek peruntukan nafkah terhadap isteri yang nusyuz mengikut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 memperuntukkan: "Tertakluk kepada hukum syarak dan pengesahan mahkamah seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain;
· Apabila dia menjauhkan diri daripada suaminya;
· Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
· Apabila dia enggan bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab sah mengikut hukum syarak."

Berdasarkan peruntukan itu, seorang isteri adalah tidak berhak menerima nafkah daripada suaminya jika beliau enggan mengikut perintah sah suaminya dengan melakukan satu atau semua perkara di atas. Namun demikian, mengikut peruntukan sama, seorang isteri tidak dikatakan nusyuz melainkan perbuatannya disahkan mahkamah terlebih dulu. Bagaimanapun, Seksyen 60 (3) Enakmen yang sama memperuntukkan: "Selepas saja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz."

Oleh itu, walaupun isteri nusyuz atau enggan mengikuti perintah sah suaminya, tetapi kemudian dia bertaubat dan menurut semula kehendak suaminya, tidaklah dianggap nusyuz lagi dan dalam keadaan ini suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Tindakan dilakukan wanita yang menjalin hubungan dengan lelaki lain sebenarnya lebih teruk daripada nusyuz kerana isteri sudah menduakan suami tanpa pengetahuan suami, malah yang lebih teruk lagi mereka mencampakkan diri ke lembah kehinaan dengan melakukan perzinaan.

Perilaku itu sewajarnya dibendung bukan di kalangan isteri saja, malah kepada pasangan mereka. Perbuatan mereka memberi kesan buruk kepada diri, agama dan masyarakat dan permasalahan ini akan menjadi lebih rumit jika isteri tadi mengandung serta melahirkan anak di luar nikah. Adalah diingatkan kepada mereka, pulanglah ke pangkuan suami serta ke jalan yang benar. Jika sudah terlanjur, maka kembalilah kepada Allah dengan bertaubat nasuha serta berniat dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya. Zina sangat besar dosanya dan memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Firman Allah bermaksud: "Dan jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan satu jalan jahat (yang membawa kerosakan."
(Surah al-Isra, ayat 32)

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Saturday 16 October 2010

Insentif Menarik

Penjawat awam dapat pelbagai insentif menarik

Berita Harian 2010/10/16
KUALA LUMPUR: Bajet 2011 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak semalam memberi pelbagai insentif menarik kepada penjawat awam, pegawai kontrak dan pesara kerajaan di seluruh negara, antaranya pemansuhan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan kadar bantuan mengurus jenazah.
Perdana Menteri berkata, ia sebagai menghargai sumbangan semua pihak termasuk penjawat awam yang memberi komitmen penuh dalam menjayakan inisiatif kerajaan dan dengan harapan supaya penjawat awam terus berusaha.
Katanya, bantuan khas kewangan diberikan kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan pada Disember ini bagi meringan beban mereka dalam menampung perbelanjaan persiapan sekolah anak-anak.

“Kerajaan juga bersetuju memansuhkan PTK dan diganti dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima baik penjawat awam menjelang Jun 2011.

“Ia adalah usaha berterusan dalam menyedia kerangka penilaian lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambil kira maklum balas penjawat awam,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan menaikkan kadar Bantuan Mengurus Jenazah kepada RM3,000 berbanding RM1,000 pada masa ini terhadap penjawat awam dan pesara kerajaan selaras dengan kenaikan kos pengurusan jenazah.
Beliau berkata, perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat (PKS) yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini juga akan disambung untuk tempoh setahun lagi dengan kementerian dan agensi tidak dibenar untuk menambah bilangan PKS baru.

Bagi memudahkan penjawat awam memiliki rumah serta memperbaiki syarat membuat pinjaman perumahan, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa ini, berkuatkuasa 1 Januari 2011.

“Kerajaan juga akan membenarkan pembelian hartanah daripada ibu, bapa, anak dan adik-beradik, selain menggandakan kadar pinjaman untuk kerja tambahan rumah kos rendah kepada RM20,000 berbanding RM10,000 bagi Kumpulan Sokongan Dua dan menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000.

“Semua langkah penambahbaikan pinjaman perumahan ini akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2011,” katanya.

Thursday 14 October 2010

Kuntum


        Hari ini, membaca merupakan antara kemahiran asas yang paling penting yang harus dikuasai oleh anak-anak pada usia muda. Jelas pada hari ini, perkembangan dalam dunia pendidikan dan ilmu sangat berbeza. Kalau dulu kanak-kanak pada usia 5 dan 6 tahun masih leka dengan bermain, hari ini tidak lagi begitu. Kalau dulu ibu bapa berpuashati anak dapat membaca apabila telah memasuki darjah 2 dan 3, kini tidak lagi. Segalanya berubah sekarang. Cabaran dan perkembangan dunia ilmu sekarang semakin mencabar dan ‘demanding’. Oleh itu ibu bapa harus sedar bahawa menyediakan anak-anak dengan kemahiran yang asas yang sesuai untuk menghadapi zaman mereka sangat penting. Dan salah satu kemahiran asas tersebut ialah membaca. (maharatul Qiraat) dalam bahasa arab. Saya pernah menulis di dalam blog ini kemahiran membaca, kemahiran menulis dan berkomunikasi tetapi semuanya di dalam bahasa arab. Sebahagiannya saya ambil dari tugasan yang saya pernah buat dan dari pengalaman semasa belajar di sekolah dahulu.
        Membaca adalah merupakan sesuatu jalan bagi mendapatkan ilmu. Sekarang ini di sekolah telah wujud pelbagai program bagi menggalakkan murid membaca seperti program NILAM, aktiviti segar minda dan program membaca 5 minit . Bagi penanda aras pencapaian murid pula telah wujud program literasi dan Numberasi yang mampu mengesan pencapaian penguasaan murid semasa ditahap 1. Begitu juga dengan PROTIM yang membantu murid agar mampu menguasai pelajaran. Namun perlu di ingat ‘Literasi bukanlah satu anugerah, tetapi ia adalah hak setiap kanak-kanak’. Begitulah bunyi ungkapan yang sering disebut. Membaca dan menulis bukanlah lahir bersama lahirnya anak-anak adam ini. Tidak ada bayi yang baru lahir dapat membaca apatahlagi menulis. Tetapi ia merupakan satu hak yang harus ditunaikan oleh ibu bapanya. Lihat sajalah apa jadi kepada remaja yang tidak dapat membaca dan menulis pada hari ini. Walaupun tidak semuanya, tetapi antara salah satu punca kegagalan dan keruntuhan akhlak mereka berpunca daripada kegagalan membaca dan menulis. Oleh itu, siapakah orang pertama yang perlu dipersalahkan. Tadi saya telah nyatakan perbezaan dulu dengan sekarang, maknanya ibu bapa perlu memastikan anak-anak mampu membaca sebelum masuk ke tahun 1.  Sebagai memenuhi tanggungjawab ini wajarlah ibu bapa hari ini mengajar anak-anaknya membaca pada usia awal lagi.

Bagaimana caranya?

 Tanam minat membaca sejak lahir lagi melalui:
        Penggunaan bahasa yang baik. Anak-anak yang baru lahir memang lumrahnya mula melihat sekelilingnya dengan penuh minat. Antara perkara utama yang dipelajarinya ialah bahasa dan ucapan orang-orang di sekelilingnya. Oleh itu ibu bapa haruslah bercakap dengan anak-anak mereka dengan menggunakan bahasa yang baik dan sopan. Kanak-kanak lambat dapat bercakap berpunca, di antaranya, daripada kurangnya komunikasi di antara ibu bapa dengan mereka pada usia kecil. Kesannya, anak-anak ini akan belajar berbahasa dengan bahasa rakan mereka atau bahasa yang dipertontonkan melalui program-program TV yang berupa karton dan sebagainya. Bahasa rojak ini tidak membantu membina kemahiran berbahasa mereka dan akan menyebabkan mereka kurang keyakinan apabila berbahasa atau apabila belajar membaca nanti. Oleh itu bercakaplah dengan anak-anak menggunakan bahasa yang baik, jelas dan santun.
        Ibu bapa juga perlu sentiasa membimbing anak-anak agar minat membaca dengan membelikan buku-buku yang sesuai dengan peringkat usia anak, serta bersama mereka dalam aktiviti membaca supaya tidak wujud kebosanan dalam diri mereka.

        Skim langganan khas majalah kuntum. Terkini sekolah ada menyediakan khidmat langganan majalah kuntum melalui pusat sumber sekolah yang dikelolakan oleh ustazah Hjh Norbi (0176985506). Sesiapa yang berminat boleh membuat pesanan terus dengan mengisi borang yang disediakan. RM 20 bagi langganan 1 tahun (11 keluaran ) RM 38 bagi langganan 2 tahun (22 keluaran ) . Majalah kuntum ini adalah majalah kanak-kanak yang di terbitkan sejak tahun 1980 dan terdapat aktiviti yang menarik dan sesuai bagi peringkat murid sekolah rendah.

Wednesday 13 October 2010

Kem Bestari Solat ( 12 Oktober 2010 )




1. PENDAHULUAN

Kem Bestari Solat siri 4, merupakan kesinambungan daripada Kem Bestari solat 1, 2 dan 3. Program dan aktiviti yang dilaksanakan ini adalah ke arah penambahbaikan dan pengukuhan yang berterusan untuk memastikan murid-murid dapat menunaikan solat dengan sebaik mungkin.

2. MATLAMAT:

a. Melahirkan generasi yang terdidik dengan solat.
b. Menilai keupayaan murid melaksanakan solat.

3. OBJEKTIF

Murid-murid tahap 1 dapat :

Berwuduk dengan sempurna.
Mengetahui perlakuan solat dengan sempurna.
Mengetahui bacaan-bacaan di dalam solat.
Membezakan anggota rukun dan sunat wuduk
Menguasai bacaan dan perlakuan dalam solat
Mengetahui cara-cara menunaikan solat.

Murid-murid tahap 2 dapat:

Melafazkan niat solat berjemaah dengan betul dan lancar.
Melafazkan bacaan Tahiyat Awal dan Akhir dengan betul
Membaca dan menghafaz surah-surah pendek ( al-Masad, al-Kafirun, al-Kauthar )
Menyatakan perkara-perkara yang membatalkan wuduk dan solat.
Menentukan kedudukan imam dan makmum semasa solat berjemaah.
Menyatakan antara muafik dan masbuk.
Membaca dan menghafaz surah al-qariah, al-adiat dan al-zalzalah dengan betul
dan lancar.
Berwuduk dengan sempurna.
Melafazkan azan.

Majlis Perasmian Penutup KBS 2010

      Majlis Perasmian Penutup KBS 2010 telah disempurnakan oleh Pn. Rogayah Bt. Mohamed Said selepas peserta KBS menunaikan solat Asar secara berjamaah di dewan SKBT. Dalam ucapan beliau telah merakamkan tahniah dan syabas kepada panitia pendidikan Islam dan JQAF kerana telah melaksanakan program KBS dengan baik dan lancar bagi tahun 2010 ini. Guru Besar juga telah menerangkan pengertian dan tugas JQAF adalah untuk memantabkan lagi pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam di sekolah berdasarkan pengajaran jawi, al-quran, bahasa arab dan fardhu-ain. Beliau juga menyatakan tentang kepentingan solat sebagai tiang agama dan menjadi benteng kekuatan umat islam daripada melakukan kerosakan serta kemaksiatan. Menjadi harapan beliau agar tahun hadapan guru yang mengajar bahasa arab dapat menyusun program bahasa arab menjadi salah satu aktiviti yang mampu menarik minat pelajar, sebagai contohnya dengan mengadakan minggu bahasa arab. AL LUGHATUL ARABIAH .

      Majlis seterusnya diakhiri dengan penyampaikan hadiah kepada peserta terbaik KBS mengikut kelas dan penyampaian cenderahati kepada setiap fasilitator. 
  

Sunday 10 October 2010

Lawatan 2010

Lawatan Ke Putrajaya, Kuala Lumpur dan Genting Highlands, selama 2 hari/1 malam 
8 Oktober hingga 9 Oktober 2010

Jumaat 8 Oktober 2010
            Guru Besar telah menyampaikan pesanan dan ingatan kepada semua peserta rombongan pada jam 7.45 pagi. Bas bertolak dari SKBT pada jam 8.00 pagi. Murid-murid telah dibekalkan dengan air mineral dan roti untuk alas perut sebelum sampai ke destinasi yang pertama. Pada jam 10.00 pagi rombongan telah sampai ke Putrajaya dan lawatan telah dibuat di sekitar Putrajaya seterusnya berhenti makan dan minum di Masjid Putrajaya. Murid-murid telah dibahagikan mengikut kumpulan guru bertugas.
            Perjalanan diteruskan lagi dan rombongan telah sampai ke KLCC pada jam 12.00 tengahari, peserta rombongan berpeluang berada di dalam KLCC sehingga jam 2.00 petang. Peserta telah menunaikan solat jamak semasa berhenti di RnR semasa menuju ke Genting Highlands.
         Bagi menuju ke Genting Highlands, peserta rombongan telah menukar bas yang telah disediakan khas dan telah sampai ke destinasi pada jam 5.30 petang. Semua peserta telah mendapat penginapan yang selesa. Sseejjuukk..... tapi seronok. Ini adalah pengalaman pertama saya sampai ke Genting Highlands. Mungkin peserta rombongan lain pun sama seperti saya.
        Kami telah keluar makan malam pada jam 8.00 malam. Semua guru memberi kerjasama membantu mengawal murid. Tugas saya sebagai ketua rombongan menjadi semakin ringan. Mungkin juga masing-masing ingat pesanan guru besar semasa taklimat. Apa-apa pun saya pohonkan kepada Allah agar lawatan ini dipermudahkan sampai ke akhirnya. Selepas makan malam peserta rombongan menuju ke ’Indorgame’. Seronok la macam-macam permainan ada. Saya sendiri tidak melepaskan peluang dengan bermain bersama murid-murid. Jam 10.00 malam kami semua menuju ke bilik dan sebelum itu saya telah memberi taklimat bahawa program untuk esok akan bermula jam 7.30 pagi. Bagi murid-murid tahun 6 memang da tahu sikap saya, tak suka kalau lambat. Jadi kalau tak suka saya terjerit-jerit , pastikan esok jangan lambat. Selamat Malam..........

Sabtu 9 Oktober 2010
        6.00 pagi, nak mandi sejukk, bagus la murid-murid ni tak payah kejut semua pandai bangun dan solat. Semua pakaian dikemas dan dimasukkan ke dalam beg, sampah dibuang dalam bakul sampah. Sementara murid-murid bersiap dan berkemas, saya turun ke bawah setengah jam awal jalan-jalan untuk keluarkan peluh. Tepat jam 7.30 pagi semua sudah ada di tempat yang dijanjikan, kami bergerak untuk sarapan pagi dan menuju ke tempat permainan. Sampai di sini Pn. Hjh Norbi telah menguruskan tiket untuk memasuki tempat permainan. Wah! banyak sangat permainan yang boleh dimainkan. Kalau macam ni, dua hari pun tak cukup. Ketua rombongan bagi arahan sampai pukul 11.30 pagi sahaja boleh berada dalam tempat permainan ni. Seronok-seronok sangat bermain ada yang sampai termuntah-muntah. Saya sendiri mencuba satu permainan. Pening kepala saya tak macam teacher Alisa, nak tau tanya lah dia apa yang dia main.
         Tepat pada masanya, kami sampai ke bilik jam 11.40 pagi. Ada lebih kurang 20 minit sebelum ’chekout’ kemas barang, serah kunci dan turun semula ke bawah. Kami bergerak menaiki bas tepat jam 12.00 tengahari. Semasa perjalanan, kami singgah makan tengahari di restoran. Makanan kira murah la juga. Nasi, lauk ayam goreng, sayur dan air sirap cuma RM 4. Cekap betul  kawan-kawan yang rundingkan harga makanan. Semua murid dapat makan tengahari. Saya yang pening-pening kepala pun makan la juga. Terima kasih kepada AJK keselamatan sebab sediakan panadol. Hilang jugala pening kepala saya. Perjalanan diteruskan lagi dan kali ini kami singgah di Strowbery Park membeli buah tangan untuk keluarga di rumah. Harap-harap yang menanti di rumah nanti tak lah menyambut dengan tangan kosong. Selama 1 jam kami di sini, banyak jugalah buah tangan yang dibeli. Tepat jam 2.00 petang kami bergerak menuju ke SKBT.
          Jam 5.30 petang, kami berhenti di RnR Seremban untuk menunaikan solat jamak zuhur dan asar. Selepas solat semua peserta rombongan telah diberikan makanan dan minuman sebagai minum petang. Perjalanan diteruskan lagi pada jam 6.30 petang. Perjalanan yang panjang dirasakan singkat, badan yang penat dirasakan hilang disebabkan rasa gembira melihat telatah murid-murid SKBT.
         Tepat jam 7.40 malam kami tiba di SKBT. Alhamdulillah semua berjalan lancar sebagaimana yang dirancang. Sebelum balik murid-murid bersalaman dan mengucapkan terima kasih dengan semua guru. Saya sebagai ketua rombongan bersyukur sangat kehadrat Allah atas semua kehendakNya. Jam 8.00 malam, saya menelefon guru besar tapi tak sempat nak cakap bateri hp abis la.. Harap Pn Rogayah maafkan saya. Kan dah cakap tadi semua atas kehendakNya...............

Thursday 7 October 2010

Minggu Panitia KT, KH dan Sivik


Pada minggu ini adalah merupakan minggu Panitia Kemahiran Hidup, Kajian Tempatan dan juga Sivik, beberapa aktiviti telah dilaksanakan antaranya ialah pertandingan kuiz, membuat buku skrap dan juga jualan. Pertandingan kuiz telah dijalankan oleh panitia kajian tempatan dalam bilik darjah semasa pengajaran pelajaran tersebut. Bagi panitia sivik pula telah mengadakan pertandingan membuat buku skrap berdasarkan sukatan pelajaran mengikut tahun 4,5 dan 6. Panitia kemahiran hidup pula menganjurkan projek keusahawanan iaitu dengan mengadakan jualan pakaian terpakai, buku-buku novel, majalah lama dan juga ikan hiasan. Barangan tersebut adalah merupakan sumbangan dari murid-murid dan warga sekolah. Alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak aktiviti yang telah dirancang dapat dijalankan dengan lancar. Harap selepas ini kita dapat menjalankan projek keusahawanan mega seperti hari kantin melalui persatuan atau unit uniform yang terdapat di sekolah ini. Bolehlah hasilnya kita nanti disalurkan kepada unit tersebut untuk dijadikan pengerak bagi melaksanakan aktiviti sekolah.

Wednesday 6 October 2010

Uda dan Dara


Dilahirkan sebagai seorang wanita adalah anugerah yang sangat indah dari Allah Ta’ala. Sebuah anugerah yang tidak dimiliki oleh seorang lelaki. Anugerah itu bertambah manis jika menjadi muslimah yang mukminah iaitu wanita muslimah yang beriman kepada Allah.
Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (HR. Muslim)
Menjadi wanita muslimah yang beriman kepada Allah tentu tidak mudah, sebab banyak sekali godaan-godan dalam mencapainya. Balasan yang Allah janjikan pun tidak terbandingkan dan semua wanita pun menginginkannya. Godaan-godaan untuk menjadi wanita solehah sering kali datang dan menggebu-gebu saat usia meniti alam remaja, justeru itu marilah kita bersama mengingatkan murid-murid yang kita sayangi tentang adab-adab bergaul di antara murid lelaki dan murid perempuan. Sebagaimana yang kita maklum UPSR telah berlalu dan ada antara mereka yang menganggap kehadiran ke sekolah hanya memenuhi jadual kedatangan dan selebihnya dihabiskan dengan bermain serta bersukaria. Hal yang sebegini akan memberi ruang kepada mereka bercampur antara lelaki dan perempuan tanpa pengawalan yang sewajarnya, berbeza pengalaman yang mereka alami semasa pengajaran dan pembelajaran semasa sebelum UPSR yang mana setiap murid berada dalam pandangan dan pengawasan guru. Kita tidak perlu menyekat naluri perkembangan mereka untuk berkawan tetapi kita perlu mengawalnya dan menerangkan tentang adab-adab pergaulan sebagai seorang muslim.
Salah satu godaan yang amat besar pada usia remaja adalah “rasa ketertarikan terhadap lawan jenis”. Memang, rasa tertarik terhadap lawan jenis adalah fitrah manusia, baik perempuan atau lelaki. Namun kalau kita tidak boleh mengawal perasaan tersebut,maka akan menjadi malapetaka yang amat besar, baik untuk diri sendiri ataupun untuk orang yang kita sukai. Dalam sebuah hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam,
فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الاِسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلاَمُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ
Zina kedua mata adalah dengan melihat. Zina kedua telinga dengan mendengar. Zina lisan adalah dengan berbicara. Zina tangan adalah dengan meraba (menyentuh). Zina kaki adalah dengan melangkah. Zina hati adalah dengan menginginkan dan berangan-angan. Lalu kemaluanlah yang nanti akan membenarkan atau mengingkari yang demikian.” (HR. Muslim)
Sebagai muslim kita harus yakin bahawa kehormatan kita harus dijaga dan dirawat, ketika berkomunikasi atau bergaul dengan lawan jenis agar tidak ada mudharat (bahaya) atau bahkan fitnah. Di bawah ini akan saya ungkapkan adab-adab bergaul  dengan lawan jenis. Di antaranya:
Pertama: Dilarang untuk berkhalwat (berdua-duan)
TTM, teman tapi mesra, ke mana-mana bersama, ke kantin bersama, pergi sekolah bersama, pulang sekolah bersama tetapi perlulah menjaga batas-batasnya. Sekolah umumnya sudah mempunyai peraturan yang  wajar dipatuhi. Begitu juga islam mempunyai syariat yang perlu diamalkan. Bukan bermakna kita perlu memisahkan lelaki dan perempuan, cuma perlu kita bagi ingatan kepada mereka. Jika ada seorang lelaki berduaan dengan seorang perempuan maka yang ketiga sebagai pendampingnya adalah syaitan.
Dari ‘Umar bin Al Khottob, ia berkhutbah di hadapan manusia di Jabiyah (suatu perkampungan di Damaskus), lalu ia membawakan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,
لاَ يَخْلُوَنَّ أَحَدُكُمْ بِامْرَأَةٍ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ ثَالِثُهُمَا
Janganlah salah seorang diantara kalian berduaan dengan seorang wanita (yang bukan mahramnya) karena syaitan adalah orang ketiganya, maka barangsiapa yang bangga dengan kebaikannya dan sedih dengan keburukannya maka dia adalah seorang yang mukmin." (HR. Ahmad, sanad hadits ini shahih)
Daripada syaitan yang menemani kita lebih baik malaikat
Kedua: Jaga aurat terhadap lawan jenis
Jagalah aurat kita dari pandangan lelaki yang bukan muhrimnya. Kawan sekolah, kawan bermain kalau dia bukan muhrim kita, maka kita wajib menutup aurat kita dengan sempurna. Maksud sempurna ialah menutup aurat sebagai mana yang telah disyariatkan, contohnya kainnya tidak boleh nipis, tidak boleh sempit, dan tidak membentuk lekuk tubuh kita. Adapun yang bukan termasuk aurat dari seorang wanita adalah kedua telapak tangan dan muka atau wajah.
Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
الْمَرْأَةُ عَوْرَةٌ فَإِذَا خَرَجَتِ اسْتَشْرَفَهَا الشَّيْطَانُ
"Wanita itu adalah aurat. Jika dia keluar maka syaitan akan memperindahnya di mata lelaki." (HR. Tirmidzi, shahih)
Saya kira cukup setakat ini dahulu walaupun banyak lagi adab-adab bergaul yang perlu kita patuhi. Mudah-mudahan ianya menjadi ingatan kepada diri saya sendiri sebagai seorang manusia kita tidak terlepas dari melakukan kesilapan mahupun sengaja atau tidak kerana manusia mempunyai sifat lupa dan lemah.
Yaa Allah jauhkanlah kami dari bisikkan syaitan yang menyesatkan. Amin... 

Tuesday 5 October 2010

Pelancaran Projek Parenthon

Tanggal 5/10/2010 lalu bertempat di Dataran Ilmu SKBT telah berlangsungnya majlis Pelancaran Projek Parenthon buat julungkalinya. Pelancaran majlis telah dirasmikan oleh Guru Besar Pn.Rogayah Bt Mohamed Said. Projek Parenthon ini adalah merupakan usaha PIBG bagi membantu menambahkan dana PIBG. Antara objektif projek parenthon ialah mengumpul dana bagi melaksanakan sebarang aktiviti yang diperlukan di sekolah. Kedudukan kewangan yang kukuh akan dapat membantu memajukan sekolah.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Khairul Anuar B Yaakup dan seterusnya ucapan oleh YDP PIBG Tn Hj Azman B Aziz. Selaku pencetus idea Projek Parenthon, beliau telah menerangkan tentang objektif Projek Parenthon. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan perasmian oleh Guru Besar Pn. Rogayah Bt Mohamed Said, beliau telah menyampaikan pesanan kepada murid-murid tentang kad pungutan dana dan berharap semua bekerjasama dalam menjayakan aktiviti yang dilaksanakan oleh PIBG dan sekolah.

Seterusnya ialah penyampaian kad pungutan dana kepada guru-guru dan juga kepada AJK PIBG yang hadir di dalam majlis tersebut.

Dari Hakim bin Hizam r.a katanya: ”Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya.”

(al-Bukhari)

Saturday 2 October 2010

Perkhemahan 2010

Photobucket

Pada 2/10/2010 yang lalu, SKBT telah mengadakan Perkhemahan Unit Beruniform tahun 2010. Program yang dikelolakan oleh Unit Ko-kurikulum telah dijayakan oleh murid-murid Tahap 2.
Pelbagai aktiviti telah diatur bersempena dengan program ini. Seawal pagi lagi, murid-murid telah bertungkus lumus memasang khemah dan membina gajet. Kreativiti murid-murid dan guru pembimbing kumpulan terserlah apabila pelbagai bentuk gajet telah dihasilkan. Aktiviti diteruskan lagi selepas minum pagi dengan mengadakan pertandingan kawad kaki di dataran ilmu, setiap kumpulan bersungguh-sungguh untuk memenangi acara ini. Seterusnya pertandingan kecemasan pula diadakan di dewan SKBT, semua ahli di dalam kumpulan mengambil bahagian bagi memastikan kemenangan kumpulan masing.
Selepas makan dan solat zohor, lebih banyak aktiviti menarik dijalankan termasuklah pertandingan memasak dan juga persembahan kumpulan, Murid-murid kelihatan sangat gembira dengan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan. Murid-murid menunjukkan bakat masing-masing. Tema Satu Malaysia merupakan tema yang terbaik yang dipilih dalam memupukkan semangat bekerjasama dan tolong-menolong di dalam kumpulan perkhemahan pada kali ini.
Akhir sekali ialah ucapan yang dinanti-nantikan iaitu ucapan perasmian penutup dari Guru Besar, beliau mengucapkan tahniah kepada unit ko-kurikulum sekolah kerana telah berjaya mengadakan perkhemahan unit beruniform begitu juga ucapan terima kasih kepada semua yang telah membantu menjayakan perkhemahan pada tahun ini.
  •  Ya Allah kami bersyukur kepada Mu di atas kudrat dan kesihatan yang baik yang telah dianugerahkan kepada kami, ampunkanlah segala dosa-dosa kami dan kelalaian kami dalam membimbing murid-murid kami. Amin