Latihan Dalam Perkhidmatan (Sabtu) 23/10/2010 berlangsung dengan jayanya. LDP kali ini telah disampaikan oleh Cik Noraida Abdullah dan Pn. Norhaida Rashid serta ceramah permakanan sihat dari penceramah jemputan.
Didik Hibur
Cik Noraida telah mendedahkan dengan pelbagai elemen didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa antara lain termasuklah santai, kelakar dan lucu, seronok dan gembira, berani mencuba, tidak takutkan guru dan kurang stress. Didik hibur dalam kelas bukannya suatu perkara baharu malah pendekatan ini telah lama digunakan oleh guru sejak dahulu. Namun dalam perkembangan dunia pendidikan kini, pendekataan tersebut dijenamakan semula dalam sukatan pelajaran yang baharu kerana pendekatan seperti itu sudah semakin dilupakan selain dapat memberikan impak yang lebih baik terhadap pembelajaran bahasa. Tambahan pula dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, penggunaan elemen didik hibur dalam kelas akan menjadikan pelajar lebih ceria, seronok, gembira dan jika dirancang dan dilaksanakan dengan baik akan menjadikan pembelajaran bahasa lebih berkesan. Peserta didedahkan dengan penggunaan teknik nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi. Peserta juga berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti becerita berpandukan gambar yang ditayangkan. Keseluruhan peserta sangat gembira menghadiri kursus ini dan mengakui bahawa keyakinan dan semangat untuk menggunakan elemen didik hibur dalam pengajaran dan pebelajaran bahasa semakin meningkat.
Tulisan Mekanis
Peserta juga didedahkan dengan tulisan mekanis yang perlu diajar dengan kaedah yang betul kepada kanak-kanak. Biasanya setelah kanak-kanak melalui proses pra tulisan, sepatutnya mereka telah faham dan boleh memegang pensel serta cara duduk yang betul dan selesa. Tulisan mekanis merupakan peringkat kedua yang patut didedahkan kepada murid- murid. Sebagai permulaan untuk memberi kemahiran dalam penulisan mekanis peserta diminta membentuk huruf-huruf pada kertas yang diberikan. Seronok juga aktiviti ini, dapat juga mengajar anak di rumah dengan kaedah penulisan yang betul.
Bahasa Inggeris Prasekolah
Mengajar Komponen Bahasa khususnya Bahasa Inggeris amat mencabar bagi guru prasekolah. Maklumlah bukan semua boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Terutamanya saya tapi apa-apa pun sebagai seorang guru, cabaran sebegini perlu disahut dengan fikiran yang positif. Ternyata penyampaian Pn Norhaida dalam pembentangan hasil dari kursus bahasa inggeris prasekolah yang dihadiri amat baik dan mampu memberikan sesuatu ilmu dalam kaedah pengajaran bahasa inggeris prasekolah. Peserta memberikan kerjasama yang baik dalam setiap aktiviti yang dijalankan. (This is a small ball ) dan aktiviti membaling pundi kacang akan menjadi kenangan kepada peserta.
Pemakanan Sihat
Ceramah yang telah disampaikan mampu memberikan kesedaran kepada peserta bahawa kebanyakkan penyakit itu berpunca daripada pemakanan.
Jika dahulu penyakit jantung, diabetes dan darah tinggi dikaitkan sebagai penyakit orang kaya kerana kemampuan mereka untuk bermewah dengan makanan tetapi hari ini anggapan itu tidak boleh dipakai sepenuhnya. Pemakanan yang berlebihan daripada keperluan dan pengambilan makanan suplemen yang tidak betul juga antara penyumbang kepada penyakit-penyakit tersebut. Semua lapisan masyarakat, tidak mengenal usia, bangsa, kaya atau miskin turut menghidap penyakit-penyakit kronik itu hari ini.
Sementara itu jumlah penghidapnya kian meningkat terutama penyakit jantung koronari yang menjadi punca kematian nombor satu di Malaysia. Corak pemakanan yang tidak seimbang, pekerjaan tanpa banyak pergerakan dan faktor keturunan turut menjadi penyumbang kepada penyakit-penyakit kronik yang boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dan dikawal.
Sementara itu jumlah penghidapnya kian meningkat terutama penyakit jantung koronari yang menjadi punca kematian nombor satu di Malaysia. Corak pemakanan yang tidak seimbang, pekerjaan tanpa banyak pergerakan dan faktor keturunan turut menjadi penyumbang kepada penyakit-penyakit kronik yang boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dan dikawal.
No comments:
Post a Comment