Dilahirkan sebagai seorang wanita adalah anugerah yang sangat indah dari Allah Ta’ala. Sebuah anugerah yang tidak dimiliki oleh seorang lelaki. Anugerah itu bertambah manis jika menjadi muslimah yang mukminah iaitu wanita muslimah yang beriman kepada Allah.
Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
“Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (HR. Muslim)Menjadi wanita muslimah yang beriman kepada Allah tentu tidak mudah, sebab banyak sekali godaan-godan dalam mencapainya. Balasan yang Allah janjikan pun tidak terbandingkan dan semua wanita pun menginginkannya. Godaan-godaan untuk menjadi wanita solehah sering kali datang dan menggebu-gebu saat usia meniti alam remaja, justeru itu marilah kita bersama mengingatkan murid-murid yang kita sayangi tentang adab-adab bergaul di antara murid lelaki dan murid perempuan. Sebagaimana yang kita maklum UPSR telah berlalu dan ada antara mereka yang menganggap kehadiran ke sekolah hanya memenuhi jadual kedatangan dan selebihnya dihabiskan dengan bermain serta bersukaria. Hal yang sebegini akan memberi ruang kepada mereka bercampur antara lelaki dan perempuan tanpa pengawalan yang sewajarnya, berbeza pengalaman yang mereka alami semasa pengajaran dan pembelajaran semasa sebelum UPSR yang mana setiap murid berada dalam pandangan dan pengawasan guru. Kita tidak perlu menyekat naluri perkembangan mereka untuk berkawan tetapi kita perlu mengawalnya dan menerangkan tentang adab-adab pergaulan sebagai seorang muslim.
Salah satu godaan yang amat besar pada usia remaja adalah “rasa ketertarikan terhadap lawan jenis”. Memang, rasa tertarik terhadap lawan jenis adalah fitrah manusia, baik perempuan atau lelaki. Namun kalau kita tidak boleh mengawal perasaan tersebut,maka akan menjadi malapetaka yang amat besar, baik untuk diri sendiri ataupun untuk orang yang kita sukai. Dalam sebuah hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam,
فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الاِسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلاَمُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ
”Zina kedua mata adalah dengan melihat. Zina kedua telinga dengan mendengar. Zina lisan adalah dengan berbicara. Zina tangan adalah dengan meraba (menyentuh). Zina kaki adalah dengan melangkah. Zina hati adalah dengan menginginkan dan berangan-angan. Lalu kemaluanlah yang nanti akan membenarkan atau mengingkari yang demikian.” (HR. Muslim)Sebagai muslim kita harus yakin bahawa kehormatan kita harus dijaga dan dirawat, ketika berkomunikasi atau bergaul dengan lawan jenis agar tidak ada mudharat (bahaya) atau bahkan fitnah. Di bawah ini akan saya ungkapkan adab-adab bergaul dengan lawan jenis. Di antaranya:
Pertama: Dilarang untuk berkhalwat (berdua-duan)
TTM, teman tapi mesra, ke mana-mana bersama, ke kantin bersama, pergi sekolah bersama, pulang sekolah bersama tetapi perlulah menjaga batas-batasnya. Sekolah umumnya sudah mempunyai peraturan yang wajar dipatuhi. Begitu juga islam mempunyai syariat yang perlu diamalkan. Bukan bermakna kita perlu memisahkan lelaki dan perempuan, cuma perlu kita bagi ingatan kepada mereka. Jika ada seorang lelaki berduaan dengan seorang perempuan maka yang ketiga sebagai pendampingnya adalah syaitan.
Dari ‘Umar bin Al Khottob, ia berkhutbah di hadapan manusia di Jabiyah (suatu perkampungan di Damaskus), lalu ia membawakan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,
لاَ يَخْلُوَنَّ أَحَدُكُمْ بِامْرَأَةٍ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ ثَالِثُهُمَا
“Janganlah salah seorang diantara kalian berduaan dengan seorang wanita (yang bukan mahramnya) karena syaitan adalah orang ketiganya, maka barangsiapa yang bangga dengan kebaikannya dan sedih dengan keburukannya maka dia adalah seorang yang mukmin." (HR. Ahmad, sanad hadits ini shahih)Daripada syaitan yang menemani kita lebih baik malaikat
Kedua: Jaga aurat terhadap lawan jenis
Jagalah aurat kita dari pandangan lelaki yang bukan muhrimnya. Kawan sekolah, kawan bermain kalau dia bukan muhrim kita, maka kita wajib menutup aurat kita dengan sempurna. Maksud sempurna ialah menutup aurat sebagai mana yang telah disyariatkan, contohnya kainnya tidak boleh nipis, tidak boleh sempit, dan tidak membentuk lekuk tubuh kita. Adapun yang bukan termasuk aurat dari seorang wanita adalah kedua telapak tangan dan muka atau wajah.
Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
الْمَرْأَةُ عَوْرَةٌ فَإِذَا خَرَجَتِ اسْتَشْرَفَهَا الشَّيْطَانُ
"Wanita itu adalah aurat. Jika dia keluar maka syaitan akan memperindahnya di mata lelaki." (HR. Tirmidzi, shahih)Saya kira cukup setakat ini dahulu walaupun banyak lagi adab-adab bergaul yang perlu kita patuhi. Mudah-mudahan ianya menjadi ingatan kepada diri saya sendiri sebagai seorang manusia kita tidak terlepas dari melakukan kesilapan mahupun sengaja atau tidak kerana manusia mempunyai sifat lupa dan lemah.
Yaa Allah jauhkanlah kami dari bisikkan syaitan yang menyesatkan. Amin...
No comments:
Post a Comment